Thursday, December 24, 2009

FEUDALISME: MENTALITI YANG DIJAJAH?

ASSALAMU'ALAIKUM WT. WB.

Saya sangat tertarik dengan tulisan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengenai suatu isu yang jarang.. Malahan semacam satu TABOO untuk memperkatakannya. Iaitu tentang mentaliti FEUDAL bangsa Melayu yang masih tebal di kalangan kita. Saya sendiri berpendapat bahawa mentaliti seperti ini perlu kita hapuskan. Sikap FEUDALISTIK kita terlalu tebal (jumud), sehinggakan terkadang membantutkan pemikiran kita, dan terkadang membuatkan orang Melayu sentiasa dalam HARAPAN PALSU yang mereka ini sentiasa dalam keadaan yang selamat. Kita bangsa Melayu, disebabkan sistem feudal inilah kalau ada masalah terutama membabitkan hal bangsa dan agama, sentiasalah kita berkata "takpe, raja kitakan ada!".

Benarkah kenyataan itu, atau hanya SATU PERSEPSI YANG TANPA KITA SEDARI, KIITALAH YANG MENCIPTANYA SENDIRI. Sistem feudal yang kita amalkan juga mewujudkan suatu sistem kasta. Dengan gelaran-gelaran darjah kebesaran yang saya kira sudah lapuk dan ketinggalan zaman, malah ianya langsung tidak Islamik. Kita melahirkan kasta Tun-Tun, Tan Sri-Tan Sri, Dato Seri-Dato Seri dan bersamanya versi femina Toh Puan-Toh Puan, Puan Sri-Puan Sri, Datin Seri-Datin Seri dan Mak Datin-Mak Datin. Tidak lupa juga golongan (Datin Wan Abe). Maka berebutlah kita nak mendapat gelar dan pangkat, dan bersamanya kita mencipta satu masyarakat berkasta yang sama sekali bercanggah dengan Islam.

Bukan itu sahaja, gelaran-gelaran ini kadang-kadang menjadi bahan lawak, sehingga penyangak dan penyamun, malah banduan pun diberi gelar kebesaran, sampai pelakon hindustan pun boleh dapat. Itu belum termasuk tokoh Ma'al Hijrah yang diberikan kepada agam lain. Entah apa jasa mereka kepada umat Islam dan rakyat kita pun tak tahu. Oleh yang demikian saya berpendapat tulisan Dr. Mohd. Asri ini suatu keberanian yang perlu diberi pertimbangan aqal yang waras sambil berlapang dada.

Saya perturunkan disini tulisan beliau untuk renungan kita bersama.
Moga mendapat menafaat dan diberi hidayah dan petunjuk oleh ALLAH. Ameen.
Wassalam.


CUPLIKAN INI DIPETIK DARI LAMAN WEB DR. MAZA



“Raja Adil Raja Diakur, Raja Zalim Raja Ditegur”

Dalam semangat sesetengah pihak untuk menegakkan ‘kedaulatan melayu’ maka berbagai-bagai slogan kemelayuan dikeluarkan. Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu sebab kitalah kaum asal di Nusantara ini. Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu kerana sejarah kesultanan dan kepahlawanan melayu. Apatah lagi ketika dunia hanya tinggal beberapa belas raja, sembilan daripadanya dimiliki oleh orang melayu. Ada yang kata orang melayu itu istimewa disebabkan adat dan budaya. Berbagai-bagai lagi yang disebutkan dalam menuntut kemuliaan dan ketinggian kaum. Namun bagi saya, kemuliaan orang melayu yang sebenar dan kekal adalah kerana mereka menganut Islam. Mereka tidak kekal mulia dengan adat atau kesultanan atau budaya atau apa saja, mereka akan kekal mulia kerana akidah Islam dan jika mereka berpegang kuat dengan Islam. Hari ini budaya dan bahasa melayu sudah banyak yang dilupa, sejarah kesultanan atau kepahlawanan melayu pun banyak perkara yang wajar dinilai semula. Adapun Islam, ia agama Allah yang sejagat, bukan hanya khusus di alam melayu atau hanya untuk orang melayu. Keberkatan dan kemuliaan akan dikurniakan kepada sesiapa yang berpegang dengannya sekalipun tanpa sejarah bangsa dan raja. Firman Allah: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan sesuatu menimpa mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (mereka itu) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka kegembiraan dalam kehidupan dunia dan akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada kalimat-kalimat Allah (janji-janjiNya), yang demikian itulah kejayaan yang besar. Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) didukacitakan oleh kata-kata mereka (yang menentang); kerana sesungguhnya segala kemuliaan bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha mengetahui. (Surah Yunus: 62-65). Jikalah kepahlawanan melayu hendak dijadikan teladan, saya fikir banyak perkara yang perlu ditapis. Hang Tuah yang kononnya hidup pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka tentu tidak relevan lagi di zaman kita untuk dianggap wira dan teladan. Wataknya itu mungkin sesuai untuk masyarakat yang berpegang kepada feudalisme yang taat patuh kepada golongan bangsawan secara membuta tuli. Hal yang sama berlaku juga dalam sejarah bangsa-bangsa feudalistik yang lain. Cerita tindakan Hang Tuah membawa lari Tun Teja dari Pahang untuk memenuhi ‘selera’ Sultan Melaka ketika itu, bukanlah tindakan yang terpuji. Ia salah dari segi nilai kesopanan, apatah lagi jika dinilai di sudut ajaran Islam. Namun, masyarakat melayu ketika itu barangkali dapat menerimanya disebabkan kehendak ‘sultan’ atau ‘raja’ dalam masyarakat melayu itu mengatasi segala-galanya. Bahkan sultan atau raja bagi mereka mengatasi undang-undang dan peraturan. Dalam sejarah, bahasa dan adat yang digunakan oleh orang melayu di hadapan sultan atau raja menggambarkan sikap berlebih-lebihan dalam memuja raja serta menghina atau ‘menghambakan’ rakyat. Ia sudah pasti tidak serasi dengan ruh ajaran Islam yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia atau makhluk, kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah. Dalam sejarah atau ‘lagenda’ kesultanan melayu juga, bukan sedikit tindakan sultan atau raja melayu yang amat menyanggahi keadilan, tidak masuk akal, sekaligus bercanggah dengan Islam. Orang melayu dalam banyak keadaan mendiamkan diri dan berkata: “Kita rakyat, baginda raja”. Falsafah raja adalah ‘jelmaan tuhan’ yang dianuti oleh sesetengah agama, walaupun tidak disebut dalam masyarakat melayu, namun ia menjelma dalam penghayatan. Sehingga perkataan ‘daulat raja’ difahami sesetengah masyarakat bahawa tuhan menurunkan bencana kepada sesiapa yang tidak menghormati raja. Bahkan adat-istiadat istana itu sendiri seperti cara ‘mengadap atau menyembah duli’ bukan berasal dari ajaran Islam. Walaupun Islam masuk ke dalam istana dan masyarakat melayu, tetapi berhubung dengan adat keistanaan, banyak yang belum berjya diislamisasikan. Tidak dinafikan golongan agama, ada yang berjaya mempengaruhi dan menasihati sesetengah raja melayu. Terdapat juga sultan-sultan melayu yang berpegang dengan Islam dan disanjungi kebaikan dan keadilan mereka. Namun, dalam banyak keadaan jiwa feudalistik melayu menghalang atau melambatkan proses mengislamisasikan pemikiran melayu berhubung dengan raja. Anasir itu ada yang berlarutan sehinggalah ke zaman moden ini. Tokoh-tokoh politik berbangsa melayu samada pro-islam atau apa saja, bagaimana ‘sakan’ pun mereka mengkritik kerajaan; dari segi belanjawan, pembaziran, tindak-tanduk, pembahagian projek, kepatuhan kepada undang-undang dan agama dan berbagai hal yang lain, apakah mereka sanggup bertanya hal yang sama jika dikaitkan dengan ‘istana’. Jawapan sudah pasti tidak atau amat sedikit, walaupun memang banyak bisikan dalam senyap. Sehingga saya berjumpa sesetengah orang yang mengharamkan ‘yoga’ atas alasan kerana ada unsur agama lain antaranya merapatkan kedua belah tangan seperti ‘menyembah berhala’. Saya bertanya: “tidakkah perbuatan yang sama dilakukan dalam istiadat melayu mengadap raja?”. Dia menjawab: “oh itu lain, saya tidak mahu masuk campur”. Tulisan ini bukan menghina sejarah istana atau raja. Apa yang hendak saya tegaskan adalah kemuliaan kita apabila kita berpegang dengan Islam. Tiada masalah dengan istana atau kesultanan melayu. Saya hanya menyebut latar masyarakat kita. Institusi ini boleh dikekalkan seperti mana United Kingdom masih mengenalkan Queen mereka. Namun, proses pembaharuan minda berkaitan istana masih diperlukan. Apatah lagi istana dianggap memayungi Islam. Banyak institusi-institusi Islam di bawah istana. Tiada penguasa yang tidak boleh dinilai dan ditegur untuk kebaikan diri mereka dan rakyat jelata. Sepertimana kerajaan ditegur dan dikritik, demikian juga raja dan sultan. Jika ia hal peribadi, ditegur secara tertutup dan peribadi. Jika ia hak atau isu awam, orang awam dan rakyat berhak menuntutnya. Saya menyebut hal demi kebaikan institusi kesultanan itu sendiri, agar berkesinambungannya secara mulia dan dihormati rakyat. Dalam rekod melayu moden, orang melayu telah banyak mempertahankan institusi kesultanan mereka, walaupun tidak banyak keadaan yang menunjukkan sebaliknya. Adapun saya, tidaklah bersetuju dengan kata-kata Hang Jebat: “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Saya tidak bersetuju dengan perkataan ‘sembah’ yang disebut oleh Hang Jebat, sebab saya tidak menyembah raja. Saya kata: “raja adil raja ditaati, raja zalim raja dibantahi atau dinasihati”. Tiada beza antara rakyat dan raja atau menteri atau bangsawan mana sekalipun di hadapan keadilan dan hak. Islam tidak pernah mengajar jiwa feudalistik yang meletakkan bagi bangsawan hukuman yang berbeza dengan rakyat. Rasulullah s.a.w menyebut: “Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Saya seorang muslim, saya juga seorang melayu. Saya tidak nafikan orang melayu dan kesultanan kita ada keistimewaan yang tersendiri. Namun, saya percaya jika kita berbicara soal sejarah bangsa, setiap bangsa ada sejarah mereka. Jika soal budaya dan adat, setiap bangsa memilikinya. Jika soal bahasa dan sastera, setiap bangsa ada latar mereka. Namun jika kita berbicara rahmat Allah yang menunjukkan Islam kepada orang melayu, ia adalah sesuatu yang istimewa. Ia membolehkan melayu itu bergabung dengan sejarah hidayah dan alam yang merentasi segala rupa bangsa dan budaya. Ia menjadikan kita bersaudara dengan berbagai bangsa di dunia atas kalimah Allah dan menjadikan kita merasai sejarah kegemilangan Islam sebahagian dari sejarah kita bersama. Cuma yang tinggal, sejauh manakah kita berjaya melayari bahtera keagungan Islam pada zaman yang mencabar ini? Zaman sudah berubah. Minda dan cara fikir generasi baru juga sudah berbeza. Sejarah juga akan berubah. Sesiapa yang enggan berubah, mungkin dia diubah.


Oleh : Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

BENARKAH ADA HARI DAN CARA TERTENTU UNTUK MEMOTONG KUKU


Saya ingin bertanyakan soalan, adakah ada dalil al-quran dan hadis sahih berkenaan dgn dapat pahala, keluar dosa, tidak dapat pahala, masuk dosa dgn mengerat kuku pd hari2 tertentu, cth nya: hari jumaat dan isnin dikatakan hari yg paling baik utk mengerat kuku kerana kerat kuku pd hari itu akan dapat pahala dan keluar dosa.

Dan ada hari yg dikatakan tidak elok untuk mengerat kuku kerana dapat dosa jika mengerat kuku pd hari itu.

Adakah ini benar..?

Jika ada dalil al-quran atau hadis sahih diharap panel feqh dpt memberikan dalil secara jelas di hari bila dapat pahala, keluar dosa atau apa yg dikatakan pd hari itu..harap soalan ini dijawab kerana jika benar,sy bimbang jika terkerat kuku pd hari yg masuk dosa.
Insyaallah, syukran…

jawapan:

Bismillah
Wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah SAW,

Tidak ada dalil al-quran dan hadis sahih berkenaan dengan dapat pahala, keluar dosa, tidak dapat pahala, masuk dosa dengan mengerat kuku pada hari-hari tertentu.

Imam Sakhawi menyebut:

قص الأظفار، لم يثبت في كيفيته ولا في تعيين يوم له عن النبي صلى الله عليه وسلم شيء

” Tiada suatu pun yang thabit dari Nabi SAW berkenaan cara-cara mengerat kuku dan tidak juga pada menentukan hari-hari untuknya.”

Allah Lebih Mengetahui

Rujukan:
- al-Maqasid al-Hasanah.

SIAPA KENAL DIRINYA MAKA KENALLAH TUHANNYA



Soalan: Apakah hadith siapa kenal dirinya maka kenal tuhannya itu sohih? Hadith selalu dibaca oleh orang-orang tarekat, juga ramai penceramah. Bolehkah kita berpegang dengan hadith ini?


Jawapan:


من عرف نفسه فقد عرف ربه

Hadith ini dihukum sebagai palsu oleh para ulama hadith. Tidak boleh berpegang dengannya. Sesiapa yang membacanya tanpa diterangkan kepalsuannya, maka termasuk dalam golongan yang mengada-adakan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Ya, ramai yang berceramah serta berhujjah dengan menyebut bahawa perkataan tersebut adalah hadith Rasulullah s.a.w, sedangkan keputusan para ulama terhadap perkataan ini membuktikan ia hadith yang palsu, antaranya:

-Kata Ibn Taimiyyah hadith ini palsu.
-Kata al-Nawawi: Ianya tidak thabit.
-Kata Abu al-Muzaffar bin al-Sam`ani: “Ianya bukan daripada Rasulullah s.a.w.
-Kata al-Sayuti menyebut: “Hadith ini tidak sahih”..
-Kata Al-`Allamah al-Fairuz Abadi, penulis Al-Qamus: Ianya bukan daripada hadith-hadith Nabi sekalipun kebanyakan orang menganggapnya hadith Nabi s.a.w.. Tidak sahih sama sekali. Hanya diriwayatkan daripada Israiliyyat.”

(lihat: `Ali al-Qari, al-Masnu’ fi Ma’rifat al-Hadith al-Maudu’ المصنوع في معرفة الحديث الموضوع, m.s.189, Riyadh: Maktab al-Rusyd/ Al-Jarrahi, Kasyf al-Khafa` 2/262/ Nasir al-Din al-Albani, Silsilah ad-Dha`ifah wa Al-Maudu`ah, 1/166 / dan lain-lain.)

Allah Lebih Mengetahui