Friday, January 1, 2010

ISMU ALLAH



CUPLIKAN INI DIPETIK DARI LAMAN WEB KHALID SAMAD


Ini adalah merupakan rentetan dari isu
yoga yang saya ketengahkan di dalam posting saya semalam. Isu kedua membawa kepada persoalan penggunaan nama Allah oleh yang bukan Islam. Isu ini sebenarnya telah banyak dikupas oleh beberapa pihak. Namun begitu, saya ingin menyentuhnya secara ringkas supaya umum memahami pendirian saya berhubung isu ini.

1. Al-Quran sendiri mempunyai banyak ayat-ayat yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam, samada golongan musyrikin, Yahudi mahupun Nasrani menggunakan perkataan ‘Allah’ apabila mereka memaksudkan Tuhan semesta alam. Maka, sekiranya kita ingin menentukan hukum berhubung persoalan ini, Al-Quran adalah rujukan pertama. Sekiranya Al-Quran sendiri mengiyakannya, bagaimana kita hendak menafikannya? Di mana hendak kita simpan ayat-ayat yang mengatakan orang bukan Islam juga menggunakan perkataan Allah untuk memaksudkan Tuhan semesta alam seperti “Wa Kaalatil Yahudu Uzair ibnu Llah” yang bermaksud “Dan berkata orang-orang Yahudi Uzair adalah anak Allah”?

2. Rasulullah (SAW) tidak pernah menghalang penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam. Ini adalah kerana Allah adalah Tuhan semesta alam, termasuk Tuhan orang-orang yang kufur terhadapNya. Sekiranya Rasulullah (SAW) tidak melakukan itu, apa sebab kita ingin melakukannya? Kaedah membezakan ‘Allah’ dengan apa yang disembah orang Kuffar dengan menggunakan nama yang khas dan berbeza tidak digunakan Rasulullah (SAW). Tidakkah ada hikmatnya?

3. Perbezaan di antara orang Islam dan orang bukan Islam bukan penggunaan perkataan ‘Allah’ tetapi atas kefahaman sifat-sifat Allah. Islam mengajar ummatnya bahawa Allah itu Esa, tidak beranak dan tidak juga diberanakkan, tiada sekutu dan Allah adalah pemilik nama-nama yang terpuji yang terkandung dalam 99 nama Asma ul Husna. Perbezaan kefahaman inilah yang hendak ditonjolkan dan diperjelaskan, bukan nama yang berbeza.

4. Kesedaran bahawa Allah bukan tuhan orang Islam semata-mata tetapi Tuhan seluruh alam semesta, termasuk orang-orang bukan Islam adalah kefahaman yang tepat. Ini akan memantapkan aqeedah orang Islam sendiri dan menghalang mereka dari mengeluarkan kata-kata, sebagai contoh, “Allah adalah Tuhan orang Islam” dan “Krishna adalah Tuhan orang-orang Hindu” dan sebagainya. Kata-kata sebegini adalah kata-kata yang boleh membawa kepada kekufuran kerana (1) Menghadkan ketuhanan Allah kepada orang Islam sahaja dan (2) Mengiktiraf adanya Tuhan yang lain bagi agama lain.

5. Secara umum, kefahaman ummat Islam adalah bahawa semua manusia percaya Allah adalah Tuhan semesta alam. Ini kita rumuskan dari ayat Al-Ankabut 61,63. Ini diperkukuhkan lagi melalui Ayat Al-A’raf 172: “Alastu biRabbikum? Kaaluu Bala Shahidna” yang bererti “Bukankah Aku (Allah) Tuhan kamu? Mereka semua menjawab Benar dan kami menjadi saksi (akan kebenaran itu)”. Namun ramai menjadi kufur apabila mereka menyengutukanNya dengan yang lain atau meletakkan kepadaNya sifat yang mustahil seperti memerlukan, pelupa, lemah, mempunyai anak dan sebagainya. Sebagai contoh ayat Al-Maaidah 73: La Kad kafaralladzina Kaluu innaLlaha thalithu thalaathah” yang bermaksud: telah menjadi kafir mereka yang mengatakan Allah adalah satu daripada tiga.

6. Perkataan ‘Allah’ seperti yang saya sebut dalam Parlimen tidak merupakan nama peribadi tetapi merupakan perkataan ringkasan dari cantuman ‘Al’ dan ‘ilah’. Ilah atau ‘benda yang disembah dan dipertuhankan’ memang banyak, termasuklah nafsu sendiri yang dipertuhankan sebahagian manusia. ‘Al-Ilah’ yang diringkaskan kepada ‘Allah’ membawa erti ‘Tuhan semesta Alam’. Apabila ini difahami orang Islam, maka mereka akan memahami juga maksud sebenar kalimah syahadah “La ilaha illa Llah” iaitu “Tiada yang dipertuhankan melainkan Tuhan” atau dalam terjemahan bahasa Inggerisnya “There is no god but God” (lower-g and capital-G). Terjemahan Inggeris ini adalah terjemahan rasmi kerajaan Saudi Arabia. Kerajaan Saudi ada juga yang tersimpang dari ajaran Islam dalam beberapa perkara, namun dalam soal ini, ianya merupakan terjemahan yang amat tepat. Namun begitu Zahid Hamidi pasti akan menjawab “Oh, Saudi? Mereka Wahabi!”.

Berdasarkan apa yang disebut di atas, insyaAllah dapat difahami bahawa ada juga manfaatnya kepada ummat Islam sekiranya orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah. Ummat Islam akan menjadi lebih jelas berhubung agama mereka sendiri dan persoalan perbezaan Islam dan agama lain dalam konsep keTuhanan. Manfaat inilah yang ingin kita perolehi.

Kedua, yang tidak kurang pentingnya dan perlu kita sedari apa sebenarnya yang diinginkan oleh pihak BN. Mereka ingin menggunakan isu agama untuk melaga-lagakan rakyat Malaysia. Mereka ingin mengambarkan seolah-olah orang bukan Islam menghina Islam dan ummatnya dengan menuntut hak menggunakan perkataan ‘Allah’. Oleh yang demikian, keadaan sebenar perlu diperjelaskan supaya keadaan ini tidak diambil kesempatan oleh mereka.

Ketiga, perbezaan pendapat di antara MP PAS berhubung isu ini hanya dari sudut kebijaksanaan dan siyasah syariiyah. Memandangkan keadaan ‘kejahilan’ ummat Islam sendiri dewasa ini, ada yang khuatir penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh yang bukan Islam akan menyebabkan kekeliruan. Pandangan saya pula, ummat Islam sedang dalam kekeliruan. Penjelasan perlu dilakukan supaya dapat dilenyapkan kekeliruan ini. Isu ini membantu kita untuk membuat penjelasan tersebut. Keadaan kejahilan ummat Islam tidak akan lenyap dengan sendirinya. Kita tidak boleh membenarkan kejahilan berterusan juga. Oleh itu, melalui isu ini, penjelasan dapat dilakukan.

Ini sahajalah yang ingin saya nyatakan berhubung persoalan ini. Majlis Syura Ulama’ PAS akan bersidang untuk membincang isu ini. Apa yang diputuskan akan saya terima sebagai pendirian rasmi PAS.

WaLlahu ‘Alam
Khalid Samad

NATRAH KE 2

KENYATAAN AKHBAR
ZULKIFLI BIN NOORDIN

ISU "ALLAH KRISTIAN"

Salam 2 all.

Tirai tahun baru masihi 2010 dibuka dengan keputusan kontoversi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. Keputusan Yang Arif Hakim Dato' Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan permohonan akhbar The Herald untuk menggunakan perkataan "ALLAH" sebagai ganti nama "God" bagi penerbitannya dalam versi Bahasa Melayu telah mencetuskan satu polemik dan kontorversi yang tidak sepatutnya berlaku.

Keputusan itu mengingatkan saya kembali kepada kes Natrah @ Maria Hertough pada tahun 1950 dimana Mahkamah penjajah Inggeris dimana Hakimnya yang bukan Islam telah, dalam keputusannya membatalkan keislaman Natrah dan perkahwinannya kepada Almarhum Mansor Adabi, langsung tidak mengambil kira perundangan syariah dan sensitiviti umat Islam semasa itu. Akhirnya tercetuslah rusuhan dan huru hara yang tidak membawa menafaat kepada sesiapa pun.

Saya berpendapat keputusan Hakim Dato' Lim Bee Lan adalah tidak tepat dan boleh dipertikaikan, malahan akan menyebabkan kekeliruan dan menganggu ketenteraman dan keselamatan awam atas sebab-sebab berikut:

1. Keputusan itu secara tidak langsung mencabar dan melanggar Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang mempertuntukkan fahaman dan dakyah agama lain tidak dibenarkan samasekali terhadap orang Islam. Membenarkan pernerbitan Kristian menggunakan perkataan ALLAH bagi penerbitan berbahasa Melayu jelas adalah satu bentuk dakyah halus kerana Melayu adalah bangsa yang beragama Islam;

2. Ini sekaligus mencabar dan tidak menghormati Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam;

3. Dengan membenarkan penggunaan perkataan ALLAH dalam risalah penerbitan Kristian, ini sebenarnya dikira akan mendorong penganut Kristian dalam perlakuan jenayah kerana Enakmen Penyekatan Pengembangan Agama, Iktikad dan Kepercayaan Lain terhadap Orang Islam (Anti Propagation Law), yang digubal dengan sahnya menurut Artikel 11 Perlembagaan dibeberapa negeri jelas memperuntukkan bahawa adalah satu kesalahan jenayah bagi sesiapa menggunakan perkataan tertentu termasuk "ALLAH" kecuali bagi maksud Islam;

4. Keputusan tersebut akan menyebabkan kekeliruan termasuk bagi penganut agama Kristian kerana memberi gambaran Tuhan mereka berubah nama mengikut bahasa yang digunakan. Sedangkan nama tuhan bagi tiap agama mestila konsisten tidak kira apa bahasa. Lihat agama Budha, Yahudi, Hindu dan lain-lain. Nama tuhan mereka tetap sama tidak kira dalam apa bahasa sekalipun. Tetapi mengapa agama Kristian berubah nama Tuhannya menurut kaum dan bahasa?

5. Kekeliruan lebih serius akan berlaku dikalangan penganut agama Kristian apatah lagi bila sermon tiap hari Ahad contohnya mula menggunakan perkataan ALLAH sebagai ganti nama God. Bagaimana dengan ucapan lazim penganut Kristian saperti:
"God created the world in 6 days and on the 7 day he rested"; atau "In the name of god the father, god the son and god the holy spirit" apakah ianya berubah menjadi "ALLAH created the world in 6 days and on the 7th day He rested"; atau "In the name of ALLAH the Father, ALLAH the son and ALLAH the holy spirit?" Saya telah bertanya rakan dan kenalan dikalangan penganut Kristian dan mereka sendiri melihat perkara ini sebagai memalukan agama kristian. Ramai dikalangan penganut Kristian sendiri yang tidak bersetuju dengan tindakan segelintir Kristian yang beriya-iya mahukan nama ALLAH menggantikan nama god.

6. Ada kalangan penganut Kristian akan mula berasa ragu dan keliru dengan perubahan nama tuhan mereka. Mereka bertanya mengapa nama tuhan mereka berbeza-beza. Kenapa dalam Bahasa Inggeris disebut Jesus dan lain-lain, tetapi didalam bahasa Melayu disebut ALLAH. Mereka khuatir agama Kristian akan dilihat sebagai agama hipokrit kerana nama tuhan mereka boleh berubah-ubah mengikut kaum dan bahasa.

7. Keputusan itu juga akan membolehkan penganut Kristian mengguna dan mempamerkan nama "ALLAH" digereja-gereja dan lain-lain tempat peribadatan mereka. Saya tidak boleh nak membayangkan bagaimana nanti disalib-salib, di perkarangan gereja dan lain-lain nama ALLAH tertera. Apakah pihak gereja dan penganut kristian bersedia berbuat sedmikina? Dan tidakkah ini nanti akan menyentuh sensitiviti umat Islam yang sudah pasti akan bertindak balas. Tidakkah Mahkamah sedar gangguan terhadap ketenteraman awam yang serius akan berlaku yang akan mengancam keselamatan orang ramai dan negara.

8. Kesilapan Mahkamah menolak permohonan pihak Majlis Agama Islam dan beberapa NGO Islam untuk melibatkan diri (intervene) dalam prosiding tersebut telah menyebabkan Mahkamah tidak mendapat maklumat dan hujahan secukupnya berkenaan dengan isu ini. Saya hairan mengapa Mahkamah tidak merujuk perkara ini kepada Majlis Fatwa kebangsaan atau pihak berkuasa Islam untuk mendapatkan pandangan dan nasihat mereka sebelum membuat apa-apa keputusan.

9. Selanjutnya, tidak ada keterangan yang mencukupi dan jelas berkenaan penggunaan perkataan ALLAH dikalangan Kristian di Malaysia. Apakah statistik yang diguna pakai. Berapa ramai sebenarnya melayu kristian yang benar-benar menaggunakan perkataan ALLAH sebagai ganti nama God. Apakah sekadar menyandarkan kepada beberapa buah buku dan tulisan sudah cukup? Sepatutnya Mahkamah mengambil keputusan memanggil keterangan pakar-pakar anthropologi, sejarah, bahasa dan lain-lain sebelum membuat keputusan. Apa yang jelas, dalam bahasa Melayu perkataan ganti bagi God ialah Tuhan, bukannya ALLAH. Manakala ini berbeza dengan bahasa 'Arab kerana tiada perkataan God dalam bahasa mereka kecuali ALLAH!

10. Penyandaran terhadap Artikel 3 dengan menyatakan penganut agama kristian dijamin kebebasan dalam mengamalkan amalan agama mereka adalah jelas tidak tepat. Saya rasa kalau Mahkamah meminta tinjauan dan referendum dibuat dikalangan penganut agama kristian dibuat, saya cukup pasti majoriti besar akan menolak penggunaan perkataan ALLAH sebagai ganti perkataan god.

Saya berpendapat kalau golongan kristian benar-benar mahu menggunakan perkataan ALLAH sebagai ganti nama God, maka saya cadangkan dilakukan perkara berikut:

1. Item pertama Rukun Negara iaitu "Kepercayaan kepada Tuhan" hendaklah ditukar kepada "Kepercayaan kepada ALLAH" memandangkan perkataan ALLAH diakui sebagai gantinama God. Yang menghairankan saya, semasa penggubalan deraf rukunegara tersebut, ada golongan bukan Islam yang membantah perkataan "ALLAH" digunakan atas alasan ianya nama Tuhan orang Islam, sebaliknya mendesak perkataan "Tuhan" sebaliknya digunakan!!

2. Semua sermon digereja dan penulisan kristian hendaklah menggantikan perkataan God kepada ALLAH tidak kira dalam versi atau bahasa apa sermon atau penulisan tersebut digunakan. Sekiranya tidak agama Kristian akan dilihat sebagai tidak konsisten dalam soal nama ketuhanan mereka.

Saya juga menyeru dan mendesak tindakan berikut diambil segera:

1. Majlis Fatwa Kebangsaan hendaklah bermesyuarat segera dan membuat fatwa dan keputusan tentang penggunaan perkataan ALLAH ini. Kita tidak mahu ada dikalangan kita mengeluarkan pendapat yang berbeza-beza, apatah lagi dikalangan orang dan kumpulan tertentu yang sentiasa membuat kenyataan yang bersifat populis tanpa mengambil kira kesannya terhadap agama Islam. Setelah fatwa tersebut dibuat, maka semua pihak berkuasa Islam negeri hendaklah segera menggazetkan fatwa tersebut;

2. Kerajaan Persekutuan hendaklah dengan segera menggubal dan melaksanakan undang-undang Akta Sekatan Pengembangan dan Dakyah Agama Lain ke atas orang Islam di Wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak kerana negeri-negeri lain telah lama melaksanakannya, mengapa 4 negeri ini masih belum menggubalkannya. Sekiranya Akta tersebut ujud, sudah tentu keadaan akan berbeza kerana ianya akan menjadi suatu kesalahan jenayah untuk menggunakan perkataan "ALLAH" untuk tujuan selain Islam sebagaimana yang diperuntukkan di negeri-negeri lain;

3. Pihak berkuasa agama, majlis agama, para mufti dan badan dakwah saperti YADIM dan lain-lain hendaklah segera turun ke padang dan mengadakan pertemuan dan berdialog dengan golongan Kristian ini untuk mencari jalan penyelesaian yang boleh disepakati. Saya kira kegagalan pihak-pihak ini mengambil tindakan segera dengan mengadakan pertemuan dan berdialog dengan pihak kristian ini telah menyebabkan kecetekan kefahaman mereka terhadap Islam. Daripada menyibukkan diri dengan kerjaikerja tak berfaedah saparti menangkap ulama dan penceramah tak bertauliah dan lain-lain, lebih baik pihak berkuasa agama ini menumpukan perhatian kepada yang lebih serius ini.

4. Pihak Kementerian Dalam Negeri hendaklah memanggil golongan kristian ini dan mengadakan dialog dengan mereka. Sekiranya KDN merumuskan penerbitan-penerbitan saperti Herald ini boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan rakyat, KDN tidak perlu teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan permit penerbitan mereka jika perlu.

5. Kita perlu mengkaji semula sistem perundangan kita terutamanya dalam isu-isu yang membabitkan hal ehwal Islam termasuk perundangan dan syariatnya perlu dirujuk dan dibicarakan di Mahkamah Syariah;

6. Atau sebagai alternatif, apa-apa isu yang berbangkit berkenaan Islam dalam apa bentuk sekalipun termasuk di Mahkamah Sivil hendaklah dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan atau Mahkamah Syariah atau apa-apa Badan Perundangan Syariah untuk suatu keputusan; dan keputusan itu hendaklah mengikat Mahkamah Sivil dan wajib dipatuhi. Bagi maksud itu, suatu pindaan perlu dibuat kepada Akta Mahkamah Kehakiman (Court of Judicature Act) untuk memasukkan peruntukkan tersebut. Ini akan memastikan perkara saperti ini tidak berulang lagi dimasa akan datang.

RUMUSAN:

Saya melihat kes The Herald ini adalah saperti suatu ulangan kes Natrah, dimana kewibawaan dan kemuliaan agama Islam dicabar. Kalau dalam kes Natrah, kita mempunyai alasan untuk menyatakan kita tiada kuasa kerana diperintah penjajah Barat. Tapi apakah alasan yang sama kita boleh gunakan sekarang, dalam keadaan kita memerintah, dalam keadaan umat Islam menguasai hampir 135 kerusi Parlimen yang walaupun bukan 2/3 tetapi merupakan majoriti mutlak! Yang sepatutnya membolehkan kita menentukan hala tuju agama Islam dan membela serta mempertahankan maruah agama kita. Kalau dalam membela dan mempertahankan Islam dalam kes Natrah orang Melayu sanggup menggadai nyawa, apatah kita bangsa Melayu moden yang hebat serba-serbi ini tidak mampu berbuat apa-apa. Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
15 Muharram 1431
01 Januari 2010