Tuesday, December 22, 2009

IMAM ABUL HASAN AL-'ASHAARI GOLONGAN MU'ATTILAH?



1. Seringkali kita terbaca di laman-lama wahhabi yang menyamakan akidah Imam Abul Hassan Al-‘Ashaari dan Al-‘Ashaairah (ulama’ yang mengikuti manhaj Imam Abul Hassan Al-‘Ashaari) Rahimahumullah dengan pandangan معطلة (mu’attilah) yang menafikan sifat bagi Allah.

2. Siapakah sebenarnya muattilah?

معطلة هم المعتزلة لأنهم نفوا الصفات القديمة عن الله وعلى رأسهم واصل بن عطاء

Mu’attilah mereka itu muktazilah kerana mereka menafikan sifat yang qadim daripada Allah dan dikepalai oleh Wasil Bin ‘Ato’. Kitab Al-Mu’jam As-Syaamil li mustolaahtil falsafah, Doktor Abdul Mun’iem Al-Hufni, mukasurat 817.

3. Golongan mu’attilah merupakan nama lain bagi golongan muktazilah yang menafikan adanya sifat bagi Allah. Pada pandangan mereka Allah mendengar dengan zat, berkata-kata dengan zat, melihat dengan zat dan sekalian daripada sifat ma’ani itu dinafikan oleh golongan muktazilah atau mu’attilah.

4. Kenapa mereka menafikan sifat bagi Allah? Kerana mereka terpengaruh dengan konsep falsafah yang menyatakan ;

القديم لا يكون إلا واحدا في كل جهات

Sesuatu yang qadim tidak boleh ada kecuali satu sahaja pada setiap sudut.

5. Pada pandangan mereka, jika bagi Allah adanya sifat maka bertembung dua qadim. Pertama sifat yang qadim dan kedua zat yang qadim. Maka ini bercanggah dengan konsep falsafah yang dipegang oleh mereka. Oleh sebab itu mereka menafikan adanya sifat bagi Allah.

6. Adapun mazhab ahlissunnah yang dipelopori oleh Al-Imam Abu Hassan Al-‘Asyaari Rahimahullah dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi Rahimahullah mendahulukan nas di atas konsep falsafah dengan mengisbatkan sifat bagi Allah dengan sekalian banyak ayat yang menunjukkan bagi Allah adanya sifat. Ayat-ayat yang menyatakan Allah bersifat, ditakwilkan oleh muktazilah kepada makna yang lain. Inilah takwil yang dicela oleh syara’ kerana bercanggah dengan dalil naqli yang qaati’ dan dalil ‘aqli yang qaati’.

7. Oleh sebab yang demikian, kita akan dapati di dalam pengajian sifat 20, kedua-dua Imam ini mengisbatkan sifat bagi Allah yang diistilahkan sebagai sifat ma’aani. Jadi bagaimana wahabi boleh menyamakan mazhab ahli sunnah dengan muktazilah atau mu’attilah?

8. Golongan mu’attilah atau muktazilah menafikan sifat bagi Allah secara asal. Dengan perkataan yang lain. Sifat itu sendiri tidak ada bagi Allah. Yang ada hanya zat sahaja. Boleh rujuk kitab maqaalat islamiyyin wakhtilafil musollin karangan imam Abu Hassan Al-‘Ashaari sendiri yang menjelaskan fahaman muktazilah dengan perbahasan yang panjang di bawah tajuk wa haaza syarhu qaulil muktazilah fi at-tauhid wa ghairihi,

9. Imam Abul Hassan Al-‘Ashaari R.H yang masyhur di dalam sejarahnya menentang fahaman muktazilah dan menjadi benteng akidah ahli sunnah wal jamaah tiba-tiba dikatakan golongan mu’attilah atau muktazilah oleh golongan wahhabi. Sungguh pelik pandangan mereka ini.

10. Sebagai bukti beliau menolak fahaman muktazilah dapat dilihat di dalam salah satu kitab yang dikarang oleh beliau bernama Risalah Ahli at-Thaghri. Kitab ini dikarang oleh beliau apabila diminta oleh orang ramai supaya menyebut tentang perkara-perkara usul yang menjadi pegangan ahli sunnah wal jamaah. Justeru, beliau telah menjawab persoalan mereka dengan menulis risalah ini pada tahun 297 H. Kitab ini menerangkan tentang kefasadan mazhab muktazilah, menolak fahaman mereka dan menyifatkan mereka sebagai golongan bidaah dan sesat.

11. Jadi, kesimpulannya Imam Abul Hassan Al-‘Ashaari R.H bukanlah mu’attilah atau muktazilah seperti dakwaan puak wahhabi bahkan beliau merupakan penentang kepada golongan muktazilah yang kita dapat lihat di dalam karya-karya beliau yang mencapai 300 buah sepertimana yang disebut oleh Khairuddin Az-Zirikli, Al-Aa’laam :

Kamus Tarajim li Asyhuri Ar-Rijal wa an-Nisa’ wa al-musta’rabin wa al-mustasyriqin, Cetakan 7, Juzuk 4, Darul Ilmi Lil Malayin, Beirut – Lubnan 1986, m.s 263.

MENGAPA SOLAT MEMPUNYAI RAKA'AT YANG TERTENTU



Masih kuat di ingatan saya ketika berada di dalam kelas pengajian Sahih Bukhari bersama Syaikhuna Murabbi Muhammad Ibrahim al-Kattani hafizahullah di Masjid Maina' Syarqi di Iskandariyah beberapa tahun lepas. Datang seorang lelaki bertanya kepada Guru Kita yang Mulia ini sebuah persoalan yang ringkas namun jawapan yang diperlukan amat padat. Lelaki ini bertanyakan satu soalan yang mana persoalan ini ditujukan kepadanya oleh seorang Kristian. Soalan menguji iman ini ialah

" Mengapa setiap solat orang Islam punya rakaat tersendiri?" " Kenapa solat subuh perlu 2 rakaat? Zohor 4 Rakaat? Asar 4 rakaat? Maghrib 3 rakaat? dan Isya' 4 rakaat?"

Kenapa tidak lebih daripada itu? Kenapa dan kenapa? Lelaki ini buntu dan tidak mampu menjawabnya.. Maka Syaikhuna Muhammad Ibrahim al-Kattani adalah sebaik-baik tempat untuk bertanya persoalan sebegini.. Saya yang ketika tersebut berada berhampiran dengan Syaikhuna Muhammad Ibrahim al-Kattani tertunggu-tunggu apakah jawapan yang akan diberikan oleh guru kami yang ternyata pakar di dalam ilmu Hadis malah mendapat gelaran Muhaddith al-Misr ( Ahli Hadis Ulung di Mesir)..

Sambil tersenyum Syaikhuna spontan menjawab...

" Tanyakan kembali kepada Kristian tersebut, Mengapa mulut kamu hanya satu? hidung juga satu? Mata kamu dua? telinga juga begitu? kaki dan tangan juga begitu? " Mengapa perlu bertanya kenapakah solat subuh 2 rakaat dan seterusnya sedangkan apa yang ada pada diri kamu sendiri tidak mampu kamu berikan jawapannya? Tuhan yang sama yang menjadikan tangan, kaki, telinga dan mata kamu sepasang, tuhan yang sama jugalah memberikan kepadamu hidung dan mulut yang satu, dan Tuhan itu jugalah yang telah menjadikan solat subuh 2 rakaat , zohor 4 rakaat , asar 4 rakaat, maghrib 3 rakaat dan Isya' 4 rakaat... Jadi jangan bertanya sesuatu perkara yang kamu sendiri tidak dapat menjawabnya sedangkan perkara itu juga ada pada dirimu sendiri"

Terkesima saya mendengar jawapan yang sangat padat dan jitu yang keluar daripada mulut seorang ulama yang sangat ikhlas menyampaikan ilmunya... Ramai hadirin yang memuji jawapan yang diberikan oleh Syaikhuna yang mulia ini... Semoga Allah memanjangkan umurmu wahai Syaikhuna agar dapat kami menimba sebanyak-banyaknya daripadamu..Hanya orang-orang yang jahil yang tidak akan mengenali serta mengetahui kedudukan seorang ulama tersebut.. Kejahilan tersebut membuatkan mereka tertipu dengan diri sendiri ...Mereka meninggalkan permata berharga, dan pergi mencari batu-batu jalanan yang tidak berharga..

Saya amat merindui Syaikhuna Muhammad Ibrahim al-Kattani hafizahullah...

Sumber : Dari Anjung Al-Atrak

SUNAN FITRAH


Apakah yang dimaksudkan dengan sunan fitrah? Sunan Fitrah ada yang menyatakan ianya perkara-perkara sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Sebenarnya Sunan Fitrah ini pelbagai, bahkan ada yang diwajibkan untuk dilaksanakan. Sebagai penjelasan lanjut, saya akan memperjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan sunan fitrah dan adab-adabnya agar dapat dimanfaatkan dan diamalkan oleh semua. Disana terdapat hadis yang pelbagai kedudukannya samada sahih, hasan atau daif. Walau apa jua kedudukan sanadnya, ianya tidaklah sampai ke tahap mauduk (palsu). Oleh itu, ke semua amalan ini adalah baik dan sangat dituntut di dalam Islam.


Fitrah ialah kejadian, atau asal bagi agama, yang dimaksudkan ialah adab di dalam agama, atau sunnah. Perkara-perkara fitrah terlalu banyak. Sebahagian hadis mengatakan lima, sebahagian hadis pula menyatakan sepuluh. Iaitu kebanyakannya sepuluh, bahkan ianya tidak tertumpu kepada sepuluh. Di dalam riwayat Imam Muslim: “sepuluh daripada fitrah”. Iaitu yang akan disebutkan hanyalah sepuluh sedangkan di sana terdapat selebihnya.

Amar bin Yasir meriwayatkan: sesungguhnya Nabi SAW bersabda: “Fitrah itu adalah sepuluh: Berkumur, menyucikan hidung, bersugi, mencukur misai, memotong kuku, membasuh celahan jari jemari, mencabut bulu ketiak, menyuci menggunakan air, khatan, dan mencukur bulu ari-ari”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dengan sanad yang doif).

Saidatina Aisyah pula meriwayatkan: Sabda Nabi SAW: “10 perkara fitrah: mencukur misai, menyimpan janggut, bersugi, meletakan air ke dalam hidung, memotong kuku, membasuh celahan jari jemari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, menggunakan air ketika beristinjak.” (Riwayat Imam Musim, Abu Daud, Ibn Majah, Imam Ahmad, Baihaqi). Imam Nawawi menyatakan daripada 10, mudah-mudahan daripadanya berkhatan, bahkan ianya aula. (Minhaj Syarah Sahih Muslim).


Abu Hurairah r.a. pula meriwayatkan: sabda Nabi SAW: “Fitrah itu 5: berkhatan, mencukur ari-ari, mencukur misai, memotong kuku, dan mecabut bulu ketiak”. (Riawayat Bukhari, Muslim dan Ashabul Sunan).

Berdasarkan daripada hadis-hadis yang disebutkan saya akan menerangkan beberapa sunat-sunat dan adab-adab secara ringkas:

1. Berkumur: iaitu membasuh mulut dengan air, diterangkan pada bab sunat-sunat wuduk.

2.Istinsyaq: iaitu membasuh hidung dengan menggunakan air,

3. Bersugi: merupakan sunat yang dituntut (muakkad).

4. Mencukur misai: merupakan sunnah berdasarkan 2 hadis yang telah lepas dan hadis Zaid bin Arqam r.a.: Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang tidak pernah mencukurnya maka ia bukan dari kalangan kami”. (Riwayat Tirmizi, Hadis Hasan Sahih).

Cara memotong misai ialah dengan mengambil sebahagian daripadanya lalu digunting sehingga meninggalkan apa yg berada di bahagian atas bibir dan tidak mencukur daripada asalnya sepertimana yang diriwayatkan Ibn Abbas r.a. lalu berkata: “Adalah Nabi SAW menggunting sebahagian lebihan misainya”. (Riwayat Tirmizi). Baginda pun bersabda: “Adalah Saidina Ibrahim Khalilurrahman melakukannya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Juga terdapat juga satu riwayat lain: “guntinglah misai”. Demikian dipinggir bibir dan mulut. Dan disunatkan sewaktu menggunting misaim dengan memulakan dengan sebelah kanan, tidak ada waktu yang dikhususkan baginya, hanya berdasarkan panjangnya misai itu. Apabila misai telah panjang guntinglah, iaitu samada menggunting dengan sendiri atau dengan bantuan orang lain kerana telah mencapai maksud tanpa mencemarkan maruah seseorang.

5. Menyimpan janggut: merupakan perkara sunat, demikian dengan cara menyimpan atau meninggalkannya tanpa menggunting, berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a: sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: “Bertentanganlah dengan kaum musyrikin, cukurlah misai, dan simpanlah janggut”. (Maka dimakruhkan mencukurnya seperti perbuatan orang-orang asing, dan meninggalkan walau bagaimana sekalipun, makruh mengguntingkannya. Imam Ghazali menyatakan di dalam kitab Al-Ihya’ : “khilaf di kalangan para ulama salaf apabila panjangnya janggut, maka ada yang berpendapat: tidak mengapa memegang janggut dan menggunting selebih dibawahnya, ini dilakukan oleh Ibn Umar kemudian beberapa ulama tabi’in, dan memperelokkannya oleh As-Sya’bi dan Ibn Sirin..) oleh yang demikian harus menggunting janggut berdasarkan ‘Amru bin Syuaib daripada bapanya daripada datuknya: bahawa Nabi SAW menggunting janggutnya daripada bawah dan panjangnya.”

Manakala apabila tumbuh janggut bagi perempuan maka disunatkan mencukurnya, begitu juga misai dan buluan yang tumbuh dibawah mulut.

Diharuskan juga mengurus rambut kepala, disunatkan menyikat dan meletakkan minyak rambut saban hari, dan disunatkan juga menyikat janggut berdasarkan hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “sesiapa yang mempunyai rambut maka hendaklah ia memuliakannya”. Dan disunatkan juga membahagikan rambut kepada 2 bahagian di kepala, Diharuskan juga mencukur semua rambut di kepala dan tidak harus sebahagian sahaja. Dimakruhkan mencabut uban berdasarkan hadis ‘Amru bin Syuaib daripada bapanya daripada datuknya daripada Nabi SAW: “janganlah kamu mencabut uban, sesungguhnya ia adalah cahaya orang Islam pada hari qiamat”. Tidak ada perbezaan di antara mencabut buluan janggut atau kepala. Disunatkan juga meletakkan mencelup inai pada uban dengan warna kuning atau merah. Diharamkan mencelup kepala dan janggut dengan pewarna hitam kecuali dengan bertujuan untuk berjihad untuk menggerunkan musuh dan menzahirkan jiwa muda dan kekuatan, maka tidak mengapa dengan niat seperti ini, tanpa menurut nafsu dan syahwat, diharamkan juga menyambung rambut dengan rambut lain samada lelaki mahupun wanita, serta diharamkan bertatu berdasarkan hadis-hadis yang sahih.

6. Memotong kuku: merupakan sunnah, samada lelaki mahupun perempuan, kaki dan tangan. Disunatkan bermula dengan tangan kanan, diikuti tangan kiri, kemudian kaki kanan diikuti kaki kiri. Waktu untuk memotong kuku diiktibarkan ketika panjangnya, iaitu apabila ia panjang maka disunatkan memotongnya. Ianya berbeza berdasarkan keadaan seseorang. Imam Syafie dan para ulama mazhabnya pernah menyatakan sunat memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur ari-ari pada hari jumaat. Disunatkan juga membasuh kuku yang masih kekal selepas memotongnya sebagai menyempurnakan kebersihan.

7. Membasuh sendi-sendi tangan: merupakan sunnah yang bukan hanya tertumpu kepada wuduk sahaja iaitu tiap-tiap pemisah-pemisah jari kerana ianya tempat berkumpulnya segala kotoran. Termasuk juga kotoran-kotoran di sekeliling telinga dan di dalam lubang telinga, kesemuanya perlu dihilangkan dengan basuhan kerana apabila ianya menjadi banyak akan memudaratkan kepada pendengaran. Begitu juga kotoran-kotoran yang di dalam hidung yang melekat di sisi-sisinya serta kotoran yang ada pada badan disebabkan peluh dan habuk.

8. Mencabut bulu ketiak: iaitu pada bahagian bawah di hujung pangkal tangan, samada lelaki mahupun perempuan sunat mencabutnya dengan menghilangkan bulu-buluannya. Diharuskan juga mencukurnya kerana tujuannya adalah membersihkan sehingga tiada lagi kotoran padanya serta menghilangkan bauan daripadanya. Waktu yang disunatkan bercukur adalah selamamana bulu-buluannya panjang berdasarkan perbezaan situasi seseorang itu. Begitu juga disunatkan bermula dengan tangan kanan.

9. Mencukur ari-ari: di dalam hadis digunakan dengan nama istihdad kiasan bagi mencukur ari-ari, iaitu buluan yang tumbuh di sekeliling zakar lelaki dan qubul perempuan atau di bahagian atas kedua-duanya. Merupakan sunnah sepertimana hadis-hadis yang jelas diterangkan sebelumnya. Diharuskan juga mencabut, menggunting atau menghilangkannya dengan alat-alat seperti kapur dan sebagainya. Tetapi yang paling afdal adalah mencukur. Seseorang itu mestilah mencukur dengan sendirinya, oleh itu diharamkan bagi orang lain melakukannya kecuali isterinya sahaja bersama makruh.

10. Al-intidhoh: iaitu menggunakan air sepertimana yang telah warid dari hadis-hadis, iaitu beristinjak dengan air. Hukum bagi istinjak adalah wajib samada membuang air kecil atau besar, tetapi penggunaan air padanya merupakan di antara sunnah-sunnah fitrah, iaitu afdhal daripada batu-batuan dan kertas. Walaubagaimanapun, menghimpunkan di antara kedua-duanya juga adalah lebih afdhal seperti yang telah diperjelaskan sebelumnya.

11. Khitan: hukumnya adalah wajib kepada lelaki dan perempuan berdasarkan sebutan di dalam hadis. Tiada ditegah daripada menyatakan wajib walaupun ianya adalah sunnah fitrah. Terdapat padanya persamaan di dalam dua perkara yang berbeza. Sepertimana firman Allah SWT (Surah An-Nur ayat 33):

“Hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu Dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat Yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian.”

Menulis itu merupakan sunnah, tetapi mendatangkannya adalah wajib. Begitu juga firman Allah Taala (Surah Al-An’am ayat 141):

“Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya”

Makan itu harus, namun melakukannya adalah wajib, begitu juga pelbagai contoh-cohtoh yang terdapat di dalam al-quran dan hadis.

Di antara dalil yang mewajibkannya seperti yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.: Rasulullah SAW bersabda Saidina Ibrahim telah berkhatan iaitu ketika umurnya 80 tahun. Firman Allah Taala di dalam Al-Quran (surah An-Nahlu ayat 123):

“Hendaklah Engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, Yang berdiri teguh di atas jalan Yang benar”

Ini kerana, kalaulah ianya tidak diwajibkan, nescaya baginda tidak akan mendedahkan auratnya. Sekiranya khitan itu sunnah, nescaya tidak akan membuka aurat orang yang diharamkan mendedahkannya. Bahkan syarak memerintah memotong sebahagian anggota yang sempurna, sekiranya ia tidak diwajibkan, nescaya tidak diharuskan.

Bahagian yang diwajibkan berkhatan kepada lelaki iaitu memotong kulit yang menutupi bahagian hasyafah di mana perlu membiarkan hasyafah terdedah ke semuanya. Manakala bahagian perempuan pula ialah sesuatu yang sedikit daripada kulit seumpama balung ayam yang terletak pada bahagian atas tempat keluar air kencing. Disunatkan juga kepada perempuan untuk memendekkannya sahaja tidak sampai kepada potongan semuanya.

Waktu yang diwajibkan berkhatan iaitu selepas baligh, tetapi disunatkan ketika kecil kerana lebih memudahkan. Disunatkan berkhatan pada hari ke-7 daripada kelahiran melainkan sekiranya terdapat keuzuran, maka dilewatkan sehingga sempurna kemungkinan-kemungkinan tersebut. Sekiranya terlewat daripada 7 hari, disunatkan khatan pada hari ke-40, sekiranya terlewat dari tarikh tersebut, disunatkan khatan pada umur 7 tahun.

Sekiranya berlaku kematian sebelum berkhatan, menurut pendapat sahih, tidak perlu dikhatankan si mati. Berkhatan merupakan taklifan, oleh yang demikian taklifan akan terhapus dengan berlakunya kematian. Kanak-kanak yang berkhatan perlu mengupah tukang khatan dengan sumber kewangannya. Sekiranya tiada, maka upah tertanggung kepada waris yang menjaga nafkahnya.

12. Berwangi-wangian: iaitu melumurkan bahan-bahan pewangi, merupakan sunnah, ianya juga merupakan gesaan daripada Rasulullah SAW. Baginda SAW seseorang yang suka sentiasa menerima hadiah berupa wangi-wangian. Oleh itu, makruh bagi mereka yang diberikan pewangi lalu ditolaknya, berdasarkan hadis Abi Hurairah r.a. berkata: aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang diberikan kepadanya wangi-wangian, maka janganlah ia menolaknya”. Dan daripada Anas r.a. berkata: “Adalah Rasulullah SAW tidak pernah menolak wangi-wangian (yang diberikan).” Disunatkan mengenakan pewangi pada setiap hari.

Disunatkan juga ketika berhias serta mengadap cermin dengan berdoa: “Ya Allah, sebagaimana kau mencantikkan penciptaanku, maka cantikkanlah akhlakku, dan haramkan wajahku dari api nerakamu”. Begitu juga kepada selain yang demikian daripada perkara-perkara sunan fitrah serta adabnya yang termasuk di dalam kesempurnaan akhlak dan amalan-amalan yang mulia.


Rujukan: Al-Quran, Sunan Sittah, Al-Mukamad, Mughni Muhtaj, Majmuk Syarah Muhazzab, Minhaj Syarah Sahih Muslim.

BETAPA TAKUTNYA GOLONGAN SALAFUS SALEH KEPADA ALLAH

munajatKebanyakan manusia melakukan ibadat tanpa ada perasaan takut kepada Allah. Ibadah mereka seumpama kotak yang tidak berisi. Perasaan takut dan gentar hati adalah sifat orang berIman yang tulen. Firman Allah swt:
" Sesungguhnya orang-orang beriman itu hanya orang yang gementar hati mereka bila disebut nama Allah, bertambah Iman mereka bila dibacakan ayat-ayat Allah dan mereka berserah diri kepada tuhan mereka." (2 : al-Anfal)


Oleh bagi memotivasikan diri kita agar kita dapat menanam perasaan takut dan gentar kepada Allah, saya hidangkan beberapa kisah para sahabat dan ulama yang diri mereka amat takut kepada Allah.


1. SAMMAH رحمه الله

Pada suatu hari Sammah رحمه الله bermuhasabah dirinya. Dia mengira umurnya sudah menjangkau 60 tahun. Lalu dia membilang hari-hari yang telah dilaluinya , dia mendapati sudah 21 ribu hari. Lalu dia berkata:

يا ويلتى لو لم يكن في كل يوم سوى ذنب واحد لكان أمرا عظيما فكيف ولي في كل يوم عشرة ألاف ذنب؟

" Alangkah celakanya, kalau aku hanya buat satu dosa sahaja sehari dosaku sudah amat besar dan banyak dosaku. Bagaimana pula kalau aku mempunyai sehari 10,000 dosa?"

Kemudian dia terus menjerit dan jatuh pengsan. Bila orang-orang lain mengejutkannya, mendapati dirinya sudah mati.

2. MUHAMMAD BIN WASIE'

Ketika Muhammad bin wasi' رحمه الله dalam keadaan sakit tenat, ramai manusia yang menziarahinya. Ada yang berdiri dan ada yang duduk. Beliau berkata kepada seorang sahabatnya:

أخبرني ما يغني هؤلاء عني إذا أخذ بناصياتي وقدمي غدا وألقيت في النار؟ ثم تلا هذه الأية
{يعرف المجرمون بسيماهم فيؤخذ بالنواصي والأقدام}.

"Beritahu aku, apakah mereka semua ini boleh membantu aku ketika malaikat menyentap ubun2 dan kedua kaki ku dan aku dicampakkan ke dalam api neraka pada hari kiamat kelak? Kemudian beliau membaca ayat ini:

"Orang-orang yang berdosa dikenali dengan tanda-tanda yang ada pada mereka dan akan direntap ubun2 dan kaki mereka." (41 : ar-Rahman)

3. Suatu hari Abu Hurairah ra menangis ketika beliau sakit. Lalu ada orang berkata kepadanya: "Kenapa engkau menangis?" Lalu beliau menjawab:

أما إني لا أبكي على دنياكم هذه
ولكني أبكي لبعد سفري وقلة زادي وأصبحت في صعود مهبطة على جنة ونار فلا أدري إلى أيهما يسلك بي


"Adapaun aku sesungguhnya tidak menangis kerana kehilangan dunia ini, tetapi aku menangis kerana betapa jauh perjalanan ku (di akhirat) dan amat sedikit bekalan ku (amalan ku). Aku seumpama menaiki tempat yang tinggi dan akan jatuh samaada ke neraka atau ke syurga. Aku tidak tahu aku akan terjerumus ke neraka atau masuk ke syurga."

4. SAID BIN 'AMIR RA

Said bin 'Amir ra adalah seorang sahabat yang dilantik Umar ra sebagai pemerintah Syam. Penduduk syam telah mengadu kepada Umar ra tentang Sa'd. Diantaranya ialah Sa'id selalu jatuh pengsan. Lalu Said ra menjawab:

"Sesungguhnya aku kadang-kadang pengsan adalah disebabkan aku dahulu telah melihat pembunuhan Khabib al-Ansari ra di Makkah. Orang-orang Quraisy telah memotong dagingnya hidup-hidup dan menanggungnya diatas batang pokok kurma. Ketika itu mereka bertanya kepadanya "Adakah kamu suka kalau Muhammad ditempatmu sedangkan dirimu selamat sejahtera." Beliau menjawab "

والله ما أحب أني في أهلي وولدي معي عافية الدنيا ونعيمها ويصاب رسول الله صلى الله عليه وسلم بشوكة

"Demi Allah aku sesungguhnya tidak suka bersama anak2 dan isteriku dalam keadaan sihat dan mendapat nikmat sedangkan Rasulullah saw tercucuk duri."

Setiap kali aku teringat peristiwa yang menimpa khabib yang mana ketika itu aku masih musyrik, kemudian aku teringat bahawa aku tidak menolongnya , aku gementar kerana takut dengan azab Allah sehingga aku pengsan."

5. ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Sesungguhnya Abu Bakar as-Siddiq ra ketika dirumahnya telah didatangi oleh seekor burung. Burung itu hinggap di sebatang pokok. Lalu Abu Bakar memandang burung tersebut dan berkata:

طوبى لك يا طير ما أنعمك على هذه الشجرة تأكل من هذه الثمرة ثم تموت ثم لا تكون شيئا ليتني مكانك

" Beruntunglah wahai burung terhadap nikmat pohon yang telah Allah berikan kepada mu. Engkau makan buah dari pohon ini. Kemudian engkau akan mati dan tidak dibangkitkan untuk dipertanggungjawabkan seperti manusia. Alangkah baiknya aku ditempat mu." (Hr Ibnu Abu Dunya)


KESIMPULAN

Walaupun mereka banyak melakukan amal soleh dan sebahgianya yang sudah dijamin syurga seperti Abu Bakar tetapi perasaan takut mereka melebihi segalanya. Mereka amat bimbang tidak diterima amalan mereka. Mereka begitu takut untuk berjumpa dengan tuhan. Balasan mereka adalah syurga seperti mana firman Allah swt:

{ولمن خاف مقام ربه جنتان}

" Dan sesiapa yang takut untuk berdiri dihadapan tuhannya pada hari kiamat mendapat dua syurga." (46 : ar-Rahman)


Rujukan: Makhawuf as-salihin min adamil qabul al-A'mal oleh Dr Muhammad 'Azzuz, Qasasus Salihin wa dumu'il Abidin oleh Haidar Muhyiddin dan at-Tahzibul Maudu'ie lihilyatul Auliya oleh Muhammad bin Abdullah.

BBM UNTUK TAHUN 1

















































































































































































































































































































PENGURUSAN MASA DALAM ISLAM


Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:


وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3).

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:

Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan oleh-Nya.

Melaksanakan amal shalih. Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibubapa, menghubungkan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.

Berpesan-pesan kepada kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.

Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.

Saya yakin para pembaca sekalian telah menghafal dan mengetahui maksud tiga ayat al-Qur’an di atas sejak dari kecil. Akan tetapi timbul satu cabaran hebat: Masa! Tidak cukup masa untuk melaksanakan keempat-empat tuntutan dalam ayat tersebut. Mengapakah Allah Subhanahu wa Ta'ala bersumpah dengan masa padahal tuntutan-tuntutan yang disebut-Nya selepas sumpahan tersebut amat sukar dicapai kerana keterbatasan masa?

Sebenarnya apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengaitkannya dengan masa, bererti masa merupakan faktor utama dalam menentukan sama ada keempat-empat tuntutan tersebut berjaya kita capai atau tidak. Dalam erti kata lain, sesiapa yang memiliki pengurusan masa yang efisyen akan mampu mencapai tuntutan-tuntutan tersebut sehingga akhirnya menjadi orang yang beruntung. Sebaliknya sesiapa yang tidak memiliki pengurusan masa yang efisyen, dia akan gagal sehingga akhirnya menjadi orang yang rugi.

Melalui tulisan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian tentang bagaimana mengurus masa secara efisyen. Ia amat mudah, hanya terdiri dari lima langkah. Ia amat ringkas, hanya memerlukan lima belas minit dari masa anda. Akan tetapi ia amat penting, penentu sama ada anda menjadi orang yang beruntung atau rugi.


Langkah 1:

Menyedari Bahawa Masa Adalah Tetap.

Berhenti sekejap dan lihat kepada jam anda. Sama ada jam tangan, jam talifon bimbit atau jam di dinding. Sama ada jam yang menggunakan jarum atau angka digital. Terdapat pelbagai jenis jam dan pelbagai jenis reka bentuk, dengan kepelbagaian yang tidak mampu kita hitung. Akan tetapi dalam kepelbagaian tersebut, terdapat sesuatu yang sama, sesuatu yang tetap. Iaitu, 60 saat = 1 minit, 60 minit = 1 jam dan 24 jam = 1 hari.

Formula di atas tidak dapat diubah atau diperlahankan. Kita tidak boleh mengubah agar dalam satu hari ada 30 jam. Kita tidak boleh memperlahankan agar 100 saat menjadi satu minit. Ringkasnya, masa adalah sesuatu yang tetap. Lalu bagaimanakah kita hendak melebihkan masa supaya dapat mencapai keempat-empat tuntutan dari surah al-‘Ashr?

Jawapannya, kita tidak boleh melebihkan masa kerana ia adalah tetap. Sebaliknya kita boleh ubah perkara-perkara yang kita lakukan kerana ia tidak tetap. Salah satu sebab utama orang menghadapi masalah keterbatasan masa ialah kerana mereka melakukan terlalu banyak perkara. Sikap inilah yang perlu diubah, dari melakukan banyak perkara kepada melakukan hanya beberapa perkara.

Sebagai contoh, seorang pelajar pusat pengajian tinggi mungkin melakukan perkara-perkara berikut sehingga menghadapi keterbatasan masa:

Belajar jurusan yang diambil.

Menyertai sesi latihan Kick Boxing setiap petang, dua kali seminggu.

Menyertai kelab bahasa Inggeris.

Menyertai pasukan sukarelawan menziarahi rumah orang kurang upaya setiap hari Ahad.

Ahli panel rekabentuk grafik untuk risalah bulanan fakulti yang diterbitkan setiap bulan.

Bermain untuk pasukan badminton asrama.

Menghadiri kuliah-kuliah agama yang dianjurkan oleh masjid di kampus setiap hari.

Menganjurkan usrah untuk pelajar-pelajar yang baru masuk ke kampus setiap malam Jumaat.

Menjadi wakil penjual kad tambah nilai talifon bimbit untuk syarikat 015-xxx xxxx.

Perkara-perkara di atas hendaklah diubah dan dikurangkan, umpama:

Memberi tumpuan menuntut ilmu agama.

Memberi tumpuan kepada jurusan yang diambil.

Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa di kampung.

Menyertai hanya satu aktiviti sukarelawan di kampus.

Kenyataan saya di atas mungkin memeranjatkan. Bukankah lagi banyak yang dilakukan, lebih baik dan berjaya seseorang itu? Saya berkata, kenyataan tersebut sekali pun masyhur, perlu dipertimbangkan semula. Banyak tidak semestinya berjaya, sedikit tidak semestinya gagal.

Ingat! Masa adalah tetap. Melakukan banyak perkara dalam masa yang tetap menyebabkan perkara-perkara yang dilakukan tidak mencapai kualiti yang terbaik. Malah adakalanya cukup syarat sahaja. Semua ini akhirnya melahirkan perasaan tidak puas hati, kekecewaan dan kehilangan motivasi. Sebaliknya melakukan beberapa perkara dalam masa yang tetap menyebabkan perkara-perkara yang dilakukan mencapai kualiti yang baik. Ini akhirnya melahirkan perasaan kesyukuran, puas hati dan motivasi untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.

Formula masa adalah tetap, iaitu

60 saat = 1 minit, 60 minit = 1 jam dan 24 jam = 1 hari.

Kita tidak boleh mengubah masa tetapi boleh mengubah perkara yang dilakukan dalam masa tersebut.



Langkah 2:

Fokus Dan Prioriti, Bukan Rambang Dan Suka Hati.

Sebab kedua yang menyebabkan keterbatasan masa adalah sikap melakukan perkara-perkara secara rambang dan suka hati, tidak secara fokus dan berprioriti. Ditegaskan bahawa individu muslim yang berjaya bukanlah seorang yang melakukan banyak perkara, tetapi adalah seorang yang melakukan beberapa perkara dan dia melakukannya secara fokus dan berprioriti.

Fokus maksudnya memberi tumpuan kepada sesuatu perkara secara mendalam sehingga menguasainya secara luas. Prioriti maksudnya menimbang sesuatu perkara, sama ada patut didahulukan atau dikemudiankan, sama ada patut dipertamakan atau diletakkan di tangga kedua, ketiga dan seterusnya.

Sebagai contoh, menuntut ilmu agama hendaklah difokuskan kepada aqidah kerana aqidah yang sahih lagi kukuh menjamin kejayaan seorang muslim di dunia dan akhirat. Menuntut ilmu agama hendaklah diberi prioriti kerana seseorang yang memahami Islam secara benar akan menjadi individu yang berjaya, bukan sahaja dari sudut agama tetapi juga dari sudut pembelajaran, kerjaya dan motivasi diri.

Memberi fokus dan prioriti kerana ilmu agama tidak bererti mengabaikan ilmu duniawi. Seorang muslim yang memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh serta kefahaman Islam yang benar akan mengetahui bahawa Islam amat menuntut agar dia menjadi seorang yang profesional dalam urusan duniawi. Dia mengetahui firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

وَقُلْ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ.

Dan katakanlah: “Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu amalkan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia (Allah) akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah amalkan.” [al-Taubah 9:105]

Dia mengetahui sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

إِنَّ اللهَ تَعَالَى يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ.

Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu beramal, dia beramal dengan cemerlang.[2]

Firman Allah yang bermaksud “Beramallah kamu…” adalah fi‘il amr yang berupa satu perintah. Ini menunjukkan kewajipan untuk kita beramal. Sementara perkataan “amal” bukanlah terhad kepada solat, puasa dan zikir tetapi meliputi semua aktiviti yang selari dengan Islam termasuk menuntut ilmu duniawi dan berkerja dalam jurusan duniawi. Sesiapa yang berpendapat perkataan amal hanyalah solat, puasa dan zikir, bererti dia masih berpegang kepada kefahaman sekularisme yang memisahkan antara agama dan dunia.

Menyentuh tentang sekularisme, fahaman ini telah banyak mempengaruhi umat Islam pada masa kini. Di satu sudut kita akan temui orang yang hanya memberi tumpuan kepada agama hingga mengabaikan dunia. Di sudut yang lain kita temui pula orang yang hanya memberi tumpuan kepada dunia sehingga mengabaikan agama. Amat sedikit untuk ditemui orang yang memberi tumpuan kepada agama dan dunia sehingga mencapai kecemerlangan dalam kedua-duanya.

Seterusnya amal tersebut kita lakukan sebaik mungkin, sesempurna mungkin. Ini kerana dari sudut aqidah, kita mengetahui bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat apa yang kita lakukan. Seolah-olah, Allah dan Rasulullah hadir mengawasi apa yang sedang kita lakukan. Kemudian di Hari Akhirat kelak …(Allah) akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah amalkan.” Sudah tentu semua ini akan menyebabkan kita malu untuk melakukannya secara enteng atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya kita akan melakukannya sesempurna mungkin kerana: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu beramal, dia beramal dengan cemerlang.”

Oleh itu, langkah kedua dalam mengurus masa ialah memberi fokus dan prioriti dalam beberapa perkara yang dilakukan sehingga setiap detikan saat memiliki nilai dan manfaat. Keberadaan masa yang sentiasa tetap menyebabkan kita tidak mampu untuk mensia-siakannya dengan sikap yang rambang dan suka hati.

Individu muslim yang berjaya bukanlah seorang yang melakukan banyak perkara, tetapi adalah seorang yang melakukan beberapa perkara dan dia melakukannya secara fokus dan berprioriti.



Langkah 3:

Menyedari Bahawa Masa Tidak Menunggu Sesiapa.

Sekali lagi saya ingin meminta para pembaca merenung kepada jam. Perhatikan bahawa ia sentiasa bergerak. Jika ia terhenti kerana kehabisan bateri atau kerana anda menghentikannya, jam-jam yang lain tetap bergerak. Semua ini mengarah kepada satu kesedaran yang amat penting, iaitu masa tidak menunggu sesiapa.

Saya yakin semua orang tahu akan hakikat ini. Akan tetapi kadangkala kita melakukan perkara-perkara yang memberi gambaran seolah-olah masa menunggu kita. Seolah-olah masa berhenti sementara bagi membolehkan kita melakukan perkara-perkara tersebut. Apakah perkara-perkara yang saya maksudkan itu? Berikut saya kemukakan beberapa contoh:

Menyambung tidur selepas solat Subuh pada hari cuti. Jika hari Isnin hingga Jumaat bangun pukul 5.45 pagi, solat Subuh berjamaah dan terus ke kuliah atau pejabat, maka pada hari cuti bangun dilewatkan hingga pukul 8 atau 9 pagi. Ada juga yang melanjutkannya hingga siang hari.

Meluangkan masa antara 1 hingga 2 jam membaca surat khabar.

Menonton orang lain bersukan, seperti menonton perlawanan bola sepak, futsal, hoki, tenis dan sebagainya.

Beriktikaf di hadapan kaca TV, purata antara 1 hingga 3 jam setiap hari.

Keluar makan bersama rakan-rakan dengan tempoh yang lama, purata antara 1 hingga 2 jam.

Contoh-contoh di atas adalah segelintir dari sekian banyak perkara yang kita lakukan yang sebenarnya merupakan satu kesia-siaan masa. Istilah seerti baginya ialah pembaziran masa dan pembaziran, sama ada melibatkan masa, wang, kesihatan, pemikiran dan perbuatan, adalah suatu tindakan yang tidak sepatutnya menjadi ciri-ciri seorang muslim. Ini kerana:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ.

Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan. [al-Isra’ 17:27]

Di sini saya tidak bermaksud untuk menyuruh para pembaca sekalian mengabaikan perkara-perkara di atas. Jika anda ingin tidur lebih untuk merehatkan minda dan tubuh pada hari cuti, lakukanlah ia pada waktu siang dan bukan pada waktu pagi. Waktu pagi adalah saat yang penuh keberkatan untuk kita lakukan aktiviti yang bermanfaat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berdoa:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا.

Ya Allah! Berkatilah umat aku pada pagi hari.[3]

Ada pun waktu siang, maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:

قِيْلُوْا، فَإِنَّ الشَّيَاطِيْنَ لاَ تَقِيْلُ.

Tidurlah (sebentar) pada siang hari kerana sesungguhnya syaitan-syaitan tidak tidur pada siang hari.[4]

Merujuk kepada surat khabar, anda sudah mendapat berita dengan hanya membaca beberapa perenggan pertama bagi setiap laporan. Kemudian jika anda membacanya dengan manhaj fokus dan prioriti, 80% dari laporan yang dikemukakan boleh diabaikan. Semua ini membolehkan anda khatam membaca surat khabar dalam masa 15 minit sahaja.

Ada pun sukan, maka Islam menganjurkan kita untuk bersukan demi kekuatan dan kesihatan. Berkenaan kekuatan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ.

Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah.[5]

Ada pun kesihatan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazim berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي.

Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau kesihatan yang baik di dunia dan akhirat. Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau keampunan dan kesihatan yang baik dalam urusan agamaku, duniaku, ahli keluargaku dan hartaku.[6]

Walaubagaimana pun bezakan bahawa Islam menganjurkan kita bersukan dan bukan menonton orang lain bersukan. Saya sebenarnya amat hairan memerhatikan gelagat orang yang menonton orang lain bersukan. Bukan sekadar menonton, mereka menyokong pasukan yang ditonton dengan penuh jiwa dan raga. Mereka menunggu perlawanan bermula dengan penuh debaran. Mereka memerhati perlawanan dengan penuh kekhusyukan, kekhusyukan yang mengalahkan semua nilai khusyuk solatnya dalam sehari. Jika pasukan yang disokong menang mereka melompat kegembiraan. Jika sebaliknya, mereka tunduk kesedihan mengalirkan air mata.

Kepada para penonton seumpama perenggan di atas, saya ingin bertanya beberapa soalan mudah. Jika anda sakit, adakah pasukan yang anda sokong datang untuk menziarahi anda? Jika anda menghadapi kesempitan kewangan, adakah pasukan yang anda sokong memberikan sumbangan atau pinjaman? Jika anda gagal dalam kehidupan, adakah pasukan yang anda sokong akan membantu anda mencapai kejayaan? Saya yakin jawapannya tidak. Oleh itu kenapakah anda menyerahkan segala jiwa dan raga, termasuk masa anda, kepada satu pasukan yang tidak kisah langsung tentang anda?

Ada pun menonton TV, maka tontonlah dengan manhaj fokus dan prioriti, iaitu satu dua rancangan yang memberi manfaat kepada pembangunan minda. Percayalah, kebanyakan pemilik syarikat siaran TV tidak menonton apa yang disiarkan oleh syarikatnya melainkan beberapa rancangan yang terpilih. Mereka tahu, jika mereka menonton TV saban hari, mereka tidak akan menjadi individu berjaya yang dapat memiliki sebuah syarikat siaran TV.

Akhir sekali, makan bersama-sama rakan dianjurkan oleh Islam kerana memiliki keberkatan di dalamnya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menegaskan:

فَاجْتَمِعُوا عَلَى طَعَامِكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ يُبَارَكْ لَكُمْ فِيهِ.

Berkumpullah kalian ketika makan dan sebutlah nama Allah padanya (Bismillahi Rahmani Rahim), nescaya makanan kalian akan diberkati.[7] Oleh itu makan bersama adalah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi menghabiskan masa yang lama ketika makan bersama adalah pembaziran masa dan pembaziran adalah sunnah……

Masa tidak berhenti untuk menunggu sesiapa. Maka janganlah membazir masa dengan melakukan perkara yang sia-sia.

Langkah 4:

Di Celah-Celah Masa Ada Masa.

Sebenarnya dalam keterbatasan masa yang dihadapi, kita boleh memiliki masa yang lebih. Berikut dikemukakan beberapa tip untuk mencari masa di celah-celah masa:

Berani berkata tidak. Apabila orang lain mengajak anda untuk melakukan aktiviti yang sia-sia atau minimum manfaatnya, beranikan diri berkata tidak. Tolaklah ajakan tersebut dengan sopan, umpama: “Tak mengapa silakan, saya ada kertas kerja fakulti yang belum disiapkan.” Atau yang lebih baik: “Tak mengapalah, saya ada kertas kerja fakulti yang belum disiapkan. Hmm! Alang-alang anta ada masa lapang, jom kita siapkan bersama?”

Gunakan kaedah temujanji (appointment). Kaedah temujanji bukan hanya untuk orang yang sudah berjaya tetapi juga untuk orang yang ingin berjaya. Apabila ada rakan yang ingin menziarahi anda, tetapkan waktu bermula dan berakhir. Apabila ada mesyuarat persatuan, minta ditetapkan waktu mula dan akhir. Kemudian jangan anda berganjak dari waktu yang dijanjikan. Kaedah ini mungkin kurang selesa bagi rakan atau ahli-ahli persatuan anda, justeru sejak awal berilah penjelasan yang hikmah tentangnya.

Manfaatkan bas dan tandas. Dua suasana yang lazim kita lalui tetapi tidak sedar bahawa masa boleh dimanfaatkan di dalamnya. Ketika dalam pengangkutan awam dan tandas, kita sebenarnya memiliki masa untuk membaca, mengkaji dan berfikir. Maka janganlah bazirkannya dengan nyanyian dan khayalan.

Do Not Disturb. Peranan tanda Do not disturb please bukan saja untuk digantung pada tombol pintu bilik hotel, tetapi juga untuk digantung pada tombol pintu bilik asrama atau dileher anda. Apabila anda sedang melakukan aktiviti yang penting, cuba elakkan faktor-faktor yang boleh menyebabkan gangguan. Senyapkan talifon bimbit. Tutup pintu bilik asrama. Pastikan rakan perbincangan di perpustakaan adalah mereka yang benar-benar fokus dalam perbincangan.

Ketahuilah bahawa satu gangguan akan merosakkan fokus anda pada kadar dua hingga tiga kali ganda dari tempoh gangguan itu sendiri. Sebagai contoh, anda mungkin mengambil masa 20 saat untuk membaca dan menjawab satu pesanan ringkas (SMS). Akan tetapi anda akan mengambil masa 1 minit untuk mengembalikan fokus kepada apa yang sedang anda lakukan sebelum itu. Kemudian, lazimnya SMS tersebut akan berbalas semula. Oleh kerana itulah dikatakan: A minor interruption will lead to many other interruptions.

Cepat bukan jimat. Wujud satu kefahaman, bahawa sesuatu aktiviti yang dilakukan dengan cepat akan menjimatkan masa. Sebenarnya tidak. Ia bahkan membazir masa. Sebabnya:

a) Cepat menyebabkan anda terpaksa menggunakan fikiran pada kadar yang tinggi. Ini menyebabkan ia cepat letih sehingga tidak dapat melakukan aktiviti seterusnya dengan efisyen.

b) Cepat menyebabkan projek yang anda lakukan memiliki banyak kesilapan dan kekurangan. Akhirnya anda terpaksa melakukan semula dari awal untuk menampung kesilapan dan kekurangan tersebut demi mencapai kualiti yang memuaskan.

c) Anda akan mudah marah dan merungut apabila berlaku gangguan yang tidak dijangkakan. Ini kerana gangguan tersebut mempengaruhi kadar kecepatan anda. Namun yang sebenarnya mengganggu ialah sikap anda yang ingin cepat sehingga mudah marah dan merungut. Satu gangguan mungkin mengambil masa 5 minit, tetapi anda akan memerlukan 15 minit untuk kembali tenang dan lapang.

d) Anda mungkin dapat membaca buku dalam masa yang cepat (speed reading). Akan tetapi dalam kecepatan tersebut banyak poin penting yang anda tertinggal atau salah faham. Kemudian apabila ingin membuat kertas kerja, anda gagal mengemukakan maklumat yang bermanfaat dan tepat padahal semuanya sedia terkandung dalam buku-buku yang sudah anda baca sebelum itu. Akhirnya anda terpaksa merujuk semula kepada buku-buku tersebut.

Oleh itu cepat bukanlah jimat. Sikap yang terbaik ialah dipertengahan antara cepat dan lambat. Sikap yang dimaksudkan ialah tenang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berpesan:

اَلتَّأَنِيْ مِنَ اللهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ.

Ketenangan adalah dari Allah manakala ketergesa-gesaan adalah dari syaitan.[8]

Lakukan pelaburan masa. Pelaburan bererti menggunakan modal yang kecil untuk memperoleh manfaat yang besar di kemudian hari. Pelaburan bukan sahaja berkaitan dengan wang ringgit, tetapi juga masa. Gunakan masa yang sedikit sebagai pelaburan untuk mencapai manfaat masa yang besar di kemudian hari.

Satu contoh mudah, saya yakin para pembaca sekalian lazim menggunakan perisian Microsoft Word untuk menyiapkan kertas kerja kuliah dan sebagainya. Saya juga menggunakannya untuk menulis risalah ini. Pada mulanya saya menggunakan perisian tersebut secara terus tanpa belajar apa-apa tentangnya. “Alaah! Microsoft Word! Siapa yang tak tahu guna?”

Akan tetapi pada satu hari, saya mengambil keputusan untuk belajar tentangnya. Saya membeli buku The Complete Idiot’s Guide To Microsoft Word 97 oleh Daniel T. Babola yang diterbitkan oleh QUE Corporation, tahun 1996.

Saya mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk mengkajinya. “Wah! Sungguh banyak yang mampu dilakukan oleh perisian ini. Dan semua itu dapat dilakukan dengan amat mudah.” Demikian bisik hati saya. Apa yang saya belajar dalam tiga minggu tersebut, sepuluh tahun yang lalu, dapat saya manfaatkan hingga hari ini. Tiga minggu tersebut merupakan satu pelaburan masa yang benar-benar menguntungkan. Ia, alhamdulillah, membolehkah saya melakukan pelbagai kerja dengan perisian Microsoft Word dan semuanya dapat dilakukan dengan mudah dan kemas.

Tak dapat bayangkan apa yang saya maksudkan? Cubalah anda melaburkan masa membacanya. Carilah edisi yang terkini. Saya yakin kertas kerja kuliah dapat anda siapkan dengan kemas lagi canggih dalam masa sejam berbanding tiga jam sebelumnya.

Belanjakan RM untuk masa. Ada satu kata pepatah Inggeris: Time is more valuable than money. Iyya! Masa lebih bernilai dari wang ringgit. Maka gunakanlah wang ringgit untuk memperoleh masa yang lebih. Kertas kerja kuliah anda sekali lagi saya jadikan contoh. Adakah anda terpaksa ke makmal komputer atau cybercafe untuk menaipnya? Banyak masa yang terbuang di sana, dari menunggu giliran sehinggalah kepada petunjuk di skrin yang tidak bergerak searah dengan tetikus.

Sebagai alternatif lain, cuba beli komputer riba sendiri. Anda tidak perlu membelanjakan wang yang banyak. Memadai komputer riba terpakai dengan kelajuan prosesan sederhana. RM1500.00 yang anda belanjakan akan dapat menjimatkan masa anda dalam jumlah yang tidak dapat dihitung.

Menyentuh berkenaan mencari masa di celah-celah masa, saya tidaklah bermaksud agar para pembaca sekalian menggunakan seluruh masa yang ada untuk bekerja keras. Islam tidak menyuruh umatnya menjadi rahib yang hanya beribadah mahu pun robot yang hanya bekerja. Sebaliknya Islam membolehkan agar ibadah dan kerja diselang-seli dengan lawak jenaka, sembang-sembang bersama rakan dan beristirehat. Ringkasnya, setiap sesuatu ada masanya, yang penting hendaklah kita membahagikannya secara adil.

Salah seorang sahabat dan juru tulis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bernama Hanzhalah al-Usaidi radhiallahu 'anh pernah menceritakan: ‘Satu hari saya berjumpa dengan Abu Bakar as-Shiddiq radhiallahu 'anh.” Abu Bakar bertanya: “Kamu apa khabar?”

Hanzalah menjawab: “Saya telah melakukan satu kemunafiqan!”

“Subhanallah! Apa yang kamu cakap ni?”

“Sebentar tadi saya bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda mengingatkan kami berkenaan neraka dan syurga sehingga seolah-olah saya dapat melihat dengan mata saya sendiri. Apabila saya berangkat pulang dari sisi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, saya bermain-main bersama isteri dan anak-anak serta melakukan beberapa urusan sehingga saya lupa kebanyakan (dari apa yang dipelajari dari Rasulullah sebelum itu).”

“Demi Allah! Saya juga pernah mengalami hal yang sama!” ujar Abu Bakar.

Kemudian Hanzhalah dan Abu Bakar pergi berjumpa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Hanzhalah berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah menjadi seorang munafiq!”

Rasulullah bertanya: “Kenapa sedemikian?” Lalu Hanzhalah menceritakan apa yang terjadi padanya. Lalu Rasulullah bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي وَفِي الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمْ الْمَلاَئِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً (ثَلاَثَ مَرَّاتٍ).

“Demi Allah yang jiwaku berada di Tangan-Nya, kalau kalian sentiasa dalam keadaan seperti ketika bersamaku dan kalian sentiasa berzikir, nescaya para malaikat akan menemani kalian di atas tempat tidur dan juga di jalanan.

Akan tetapi wahai Hanzhalah, segala sesuatu ada masanya.” (Baginda mengulanginya tiga kali).[9]

Tujuh Tip Mencari Masa Di Celah-Celah Masa:

1. Berani Berkata Tidak.

2. Gunakan Kaedah Temujanji.

3. Manfaatkan Bas Dan Tandas.

4. Do Not Disturb.

5. Cepat Bukan Jimat.

6. Lakukan Pelaburan Masa.

7. Belanjakan RM Untuk Masa.

Langkah 5:

Carilah Keberkatan Dalam Masa.

Sebelum ini saya ada menerangkan tentang formula masa dan pergerakan jam. Memang, ia tidak dapat diubah. Akan tetapi sebagai seorang mukmin, kita beriman kepada wujudnya sesuatu yang istimewa di sebalik formula masa dan pergerakan jam. Perkara istimewa tersebut tidak dapat diukur dengan apa-apa formula dan tidak dapat dilihat pada mana-mana jam.

Perkara istimewa tersebut ialah keberkatan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada para hamba-Nya yang terpilih. Dengan keberkatan ini, seseorang itu mampu melakukan banyak perkara bermanfaat untuk agama, umat, manusia dan alam sekali pun dalam formula masa dan pergerakan jam yang tetap sama.

Bagaimanakah memperoleh atau mencari keberkatan dalam masa? Berikut dikemukakan dua cara:

Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ.

Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.[10]

Luangkanlah masa sekurang-kurang seminggu sekali untuk menalifon ibubapa atau menulis surat kepada mereka. Sebulan sekali, baliklah ke kampung menziarahi dan memperhatikan hal ehwal mereka. Dalam zaman materialisme dan individualisme masa kini, ibubapa sering diketepikan. Akan tetapi ketahuilah, keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa kita. Jika ibubapa redha kepada kita, Allah juga akan redha kepada kita. Apabila Allah redha kepada kita, tidak ada perkataan yang mampu saya taip untuk menggambarkan hasilnya.[11]

Sedekahkan masa.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

مَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ.

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. [al-Baqarah 2:261]

Dalam ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan pulangan dividen harta bagi sesiapa yang sebelum itu mensedekahkan hartanya secara ikhlas untuk kebaikan agama dan umat Islam. Secara analogi, demikianlah juga dividen masa yang akan diperoleh oleh sesiapa yang mensedekahkan masanya secara ikhlas demi kebaikan agama dan umat Islam. Sedekah masa yang saya maksudkan ialah melakukan kerja-kerja sukarelawan. Kerja sukarelawan tersebut bukanlah kerana kumpulan atau persatuan, tetapi kerana agama dan umat.

Antara kerja sukarelawan yang saya maksudkan ialah mengajar tusyen kepada pelajar-pelajar sekolah luar bandar, melawat hospital, melawat rumah orang tua, melawat rumah orang kurang upaya dan memperbaiki rumah yang rosak di kawasan kampung. Jika anda menguasai ilmu agama, lakukanlah amar ma’ruf dan nahi mungkar.[12]Jika anda menguasai ilmu perbandingan agama, maka jadilah seorang pendakwah. Sesiapa yang mensedekahkan masanya demi kebaikan agama dan umat Islam, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengurniakan kepadanya kelapangan masa untuk melakukan pelbagai lagi perkara yang bermanfaat.

Dua perkara di atas, iaitu memperhatikan hal-ehwal ibubapa dan melakukan aktiviti sukarelawan telah saya senaraikan ketika mengupas langkah pengurusan masa # 1. Di sana saya senaraikan bahawa jumlah perkara yang hendak dilakukan oleh seseorang hendaklah dikurangkan kepada:

Memberi tumpuan menuntut ilmu agama.

Memberi tumpuan kepada jurusan yang diambil.

Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa di kampung.

Menyertai hanya satu aktiviti sukarelawan di kampus.

Apabila anda melakukan perkara ketiga dan keempat secara ikhlas dan sebaik-baiknya, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengurniakan keberkatan dalam masa anda sehingga anda memiliki kelapangan untuk melakukan perkara-perkara lain yang bermanfaat. Maka setelah itu, senarai empat perkara di atas boleh anda tambah menjadi lima, enam dan seterusnya. Akan tetapi ingat, hendaklah perkara yang anda tambah itu masuk dalam kategori firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3).

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]

Sesiapa yang mensedekahkan masanya demi kebaikan agama dan umat Islam, maka Allah akan mengurniakan kepadanya kelapangan masa untuk melakukan pelbagai lagi perkara yang bermanfaat.

[1] Risalah ini merupakan kertas kerja yang saya bentangkan dalam seminar Motivation Is A Catalyst To Succeed yang diadakan pada 29 Julai 2007 di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan dinilai sahih oleh Mokhtar Ahmad an-Nadwi dalam Jami’ li Syu‘ab al-Iman, hadis no: 4930(Bab Tentang Amanah...).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2606 (Kitab al-Jihad, Bab berangkat pada waktu pagi).

[4] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Nu‘aim dan sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no: 1647.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2664 (Kitab al-Qadar, Bab suruhan untuk bersifat kuat…).

[6] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 4785 (Musnad ‘Abd Allah bin ‘Umar).

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3764 (Kitab al-Ath‘imah, Bab berkenaan berkumpul untuk makan).

[8] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 3011.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2750 (Kitab al-Taubah, Bab keutamaan sentiasa berzikir…).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya, hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.

[11] Lebih lanjut berkenaan kedudukan ibubapa dalam Islam, rujuk buku saya Wahai Ibu! Wahai Ayah! terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006.

[12] Lebih lanjut tentang ilmu yang saya maksudkan, rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2007.